pengakhiran purnama ketujuh
aku ke situ lagi
bersama buah hatiku nan satu.
Mengadap laut terbentang luas
mega yang kian ditelan gelap
camar riang pulang ke pangkuan
desir ombak berdendangan
beriringan bayu dari seberang.
Appa, Tata tak datang lagi?
betulkah Tata tak mahu temui Prisha?
Tata sayang Prisha, Appa?
Tata ada bersama kita, sayang
dia sentiasa di sisi kita
pejamkan matamu, en magalay
percayalah… Tata sayangkanmu.
Bayu berterus-terusan ke pengkalan
menyapu lembut wajah kami
membelai manja ikal rambut Prisha
selesa melihat kami berteleku di situ.
Mari kita pulang, Prisha
malam kian dingin
Amma tertunggu-tunggu di rumah
juadah menanti dijamah.
Sebentar, Appa…
Prisha nak ucap selamat tinggal
tapi Tata masih bergelingan
jangan nangis, Tata
nanti Prisha datang lagi.
Dia bangkit, gapai tanganku
pimpinku pergi
aku nangis dalam hati
anakku temui datuknya
terima kasih, Tuhan…
Appa, nanti kami datang lagi
satu petang Selasa
penghujung purnama ketujuh.
(Doaku buat mangsa tragedi pelantar jeti runtuh di Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth pada tahun 1988 yang mengorbankan 32 orang awam)
Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
12 Ogos 2006
11:45
No comments:
Post a Comment