Tuesday, September 24, 2002

Utusan Buat Adik

Adik-adikku
ku mohon seketika
untuk menceritakan
isi hati yang ini.

Adik-adikku
tiada galang gantinya
sinar matamu yang menyejukkan
buah tuturmu yang menenangkan
tingkah lakumu yang menggembirakan
sungguh dekat di hati ini.

Adik-adikku
ku sedar beban di bahumu.....
kerna aku pernah lalui lorong itu
untuk sampai ke sini.

Adik-adik
kujanganlah disalah bonda
janganlah disalah ayahanda
kerna menaruh harapan, menggantung cita-cita.

Adik-adikku
mereka bukannya hartawan
tapi mereka ibu bapa yang sedar and pintar
ilmu adalah pusaka yang terbaik
buat bekalan dunia dan akhirat.

Adik-adikku
satu hari nanti
kau temui jua cahaya yang dikata mereka
dan kuharap ku temuinya
semasa kita semua masih bersama-sama.


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
23 September 2002

Thursday, June 27, 2002

Akan Ku Tunggu

Akan ku tunggu
biar seribu tahun lagi.

Itu impianku
melihat kau lahir semula
dari rahim yang kian menua
disiram darah-darah keberanian tulen
yang menyuntik roh
bagi menentang kuasa bobrok
negerionmu
yang perlahan-lahan memamahmu.

Akan ku tunggu jua
kelahiran semula mu
biar seribu tahun lamanya
kan ku tunggu.

Itulah harapku
agar kau lahir - bogel
tanpa seurat benang
yang membelit santak kau alpa
dan pura-pura.

Turunlah dikau
dari singgahsana kayangan
untuk dilahirkan semula
dan sertaiku
serta askar lain.

Akan ku tunggu
sampai tiba masanya
mungkin bila kau sudah puas
atau tersedar dari tidur nan panjang
turunlah
lahirlah semula
ku nanti di sini.

Akan ku tunggu...


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
26 Jun 2002
19:24

Saturday, April 27, 2002

Manusia Banyak Nama

Dia yang banyak nama 
biar apa dipanggil
maknanya tetap sama
KEDI.

Panggillah dengan nama apa sekalipun

tapi biarlah yang indah
bukannya PAPAK
atau WANDU.

Dan dia juga hamba Allah

MANUSIA:
ada yang lelaki,
ada yang perempuan
kadangkala baik,
kadangkala buruk.

Tiada beza SANGKAN dengan kau dan aku

masing-masing berasa
suka disukai
benci dibencikan
dan kita sama-sama istimewa
sama-sama cacat
dan kerana itu kita jangan bongkak
sombong dengan Allah Yang Maha Sempurna.
 
Kau dan aku dan juga PONEN

wajib nasihat bernasihat
supaya kita tidak tergelincir
dari landasan yang Muhamad bina.

Mungkin kau nampak gagah

dan BANCI tampak tiada kudrat
tapi itu bukan ukuran
kerana manusia yang kuat
akal dan imannya berkuasa
bukan amarah yang jadi raja.

Kita bukan Tuhan

syurga neraka bukan ciptaan kita
biarlah Allah dengan hak-Nya
kita dengan tugasan kita

Kita pun banyak nama

sebab kita manusia... 


Hasmi Haron 
Kuala Lumpur, MALAYSIA

27 April 2002

Wednesday, March 06, 2002

M Sudah Kahwin

M sudah kahwin
dengan A
kosong tiga kosong tiga
dua kosong kosong dua.

M sudah kahwin

betul-betul sudah nikah
tidak bohong-bohong
bukan main-main.

Cuma aku belum kahwin

biarpun mahu kahwin
tapi tak kahwin-kahwin.

Kahwin oh kahwin

di mana dikau!

Setiap yang bertanya

ku jawab belum sampai masa
tiada rumah, belum berkereta
lagipun usia masih muda.

Dan ada yang bertanya lagi

perlukah serba serbi
sebelum cari suami atau bini
tak cukupkah cinta di hati?

M boleh juga berumahtangga 
biarpun belum kumpul harta
bukankah senang kalau berdua
lebih bersemangat menuju bahagia.

Ah! alasan, kata mereka.

Entahlah...

tapi aku mahu kahwin
betul-betul mahu nikah
percayalah!


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
6 Mac 2002

Friday, January 11, 2002

Anak Itik

Anak itik itu hitam gelap
macam bontot kuali,
tak pun macam Muthusamy
yang menjual kacang di bawah pokok Melaka
sebelah Muzium Samudera.

Anak itik itu busuk

macam kentut budak bujang rumah depan,
tak pun macam air rendaman kain
yang terbiar seminggu tak berbasuh
tengik.

Dan anak itik itu pemalu.

Tapi anak itik itu

putih hatinya
wangi kelakunya
garang kejujurannya.

Dan anak itik itu

tidak menyalah sesiapa
kalau berlaku bencana
dan tidak tuding jari
bila ada kesalahan pada kertas kerja
yang ingin dibentangkan kepada Ibu bank. 


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA

10 Januari 2002