Dia yang banyak nama
biar apa dipanggil
maknanya tetap sama
KEDI.
Panggillah dengan nama apa sekalipun
tapi biarlah yang indah
bukannya PAPAK
atau WANDU.
Dan dia juga hamba Allah
MANUSIA:
ada yang lelaki,
ada yang perempuan
kadangkala baik,
kadangkala buruk.
Tiada beza SANGKAN dengan kau dan aku
masing-masing berasa
suka disukai
benci dibencikan
dan kita sama-sama istimewa
sama-sama cacat
dan kerana itu kita jangan bongkak
sombong dengan Allah Yang Maha Sempurna.
Kau dan aku dan juga PONEN
wajib nasihat bernasihat
supaya kita tidak tergelincir
dari landasan yang Muhamad bina.
Mungkin kau nampak gagah
dan BANCI tampak tiada kudrat
tapi itu bukan ukuran
kerana manusia yang kuat
akal dan imannya berkuasa
bukan amarah yang jadi raja.
Kita bukan Tuhan
syurga neraka bukan ciptaan kita
biarlah Allah dengan hak-Nya
kita dengan tugasan kita
Kita pun banyak nama
sebab kita manusia...
Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
27 April 2002
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment