Friday, November 02, 2012

Jumaat Yang Basah

Jumaat yang basah
bersiram rahmat
berselimut sejuk
lambang Allah itu satu.

Jumaat yang basah
dan aku berlari keluar
lencun serta mengah
tuju ke lubuk rezeki.

Jumaat yang basah
ada rahmat
ada sejuk
pedulikah kita?


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA

Sahabat

Sahabat itu bayang-bayang
kadang-kadang di hadapan
kekadang di belakang
ada kala di tepimu, kiri dan kanan
sentiasa di bawah, tak pernah di atasmu.

Sahabat itu bayang-bayang
gelap
bisu
tapi tiada meninggalkanmu.


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA

Friday, October 19, 2012

Pantun Buat Datin Shahariah Hashim


Duduk berehat di tepi perigi,
Beralaskan daun pohon berangan,
Tunjuk nasihat yang Datin beri,
Bertahun-tahun menjadi kenangan.

Beralaskan daun pohon berangan,
Periuk kera kemas di tangan,
Bertahun-tahun jadi kenangan
Bila bersara dilupakan kami, jangan.

Periuk kera kemas di tangan,
Nama bertulis atas jerami,
Bila bersara dilupa jangan,
Ada majlis undanglah kami.

Nama bertulis atas jerami,
Kuninglah rumput ditudung seludang,
Ada majlis undanglah kami,
Andai dijemput, insya Allah, pasti bertandang.

Kuning rumput ditudung seludang,
Dibaja dikerat asam lokan,
Andai dijemput pasti bertandang,
Tiada kudrat salam dikirimkan.


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA



Wednesday, October 17, 2012

Balas Pantun Tentang Datin Shahariah Hashim


Duduk berehat di tepi telaga,
Hati berkenan si gulai patin,
Tubuh sihat kekal bertenaga,
Apakah makanan kegemaran Datin?

Pulang petang si mergastua,
sekawan camar terbang sakan,
Tiada pantang tiada petua,
Paling Datin gemar salad dan ikan.


Kumbang menari di hujung putik,
bakul siah berisi gasing,
Makin hari makin cantik,
Apa rahsia kekal langsing?

Tinggi bintang di langit dua,
Puncak Angsi tidak berpenghulu,
Tiada pantang tiada petua,
Kurangkan nasi dan senyum selalu.


Buah pulasan buah berangan,
Penuh setin dibuat wakaf,
Banyak tugasan berat tanggungan,
Bagaimana Datin memikat staf?

Ke Sungai Brinchang mengail tongkol,
Singgah tetamu memuja al-Qayyum,
Mudah berbincang kurang protokol,
Tak lokek ilmu dan kaya senyum.



Indah tasbih buatan lama,
Letak di pangkin beralas jerami,
Sedekad lebih kita bersama,
Apa sifat Datin yang dikagumi?

Di pagi subuh hendak ke Genting,
Dari Mantin naik bas ekspres,
Walau 'disembur' di FSOC meeting,
Gelak ketawa datin penawar stress.



Hasmi Haron
Kuala Lumpur

Tuesday, October 18, 2011

Inspirasiku, Pak Itam

Engkau umat Muhammad saw
dan dikau inspirasiku.

Engkau kasihkan keluarga
dan keluarga sayang dikau.

Dikau inspirasiku
pengikut Muhammad saw
yang cinta keluarganya.

Kau ajarku tabah
kau tunjukku usaha
dan aku percaya semula cinta.

Kau inspirasiku
dikau umat Muhammad saw
moga Allah kurniaku kasih sayangmu.


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
18 Oktober 2011

(Khas buat arwah Ramlan Puteh, yang telah kembali menemui Allah pada 18 Oktober 2011. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya, terima segala amalannya dan tempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah.)

Sunday, May 01, 2011

Dari Puncak Ini

Dari puncak ini
ku laung isi hati
sepenuh jiwa
sedar dan insaf
aku ingin kembali.

Dari puncak ini
ku seru nama Tuhanku
sedar dan insaf
sepenuh jiwa
ku laung isi hati.

Dari puncak ini
aku ingin kembali.


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
1 Mei 2011

Thursday, March 11, 2010

Bulan, Aku dan Sepi

oh indahnya wajah bulan purnama
menyinari jiwa-jiwa sepi di dunia ini
bahagianya insan dibawah cahayamu
senyum dimuka, ceria dihati.

dan aku?
hanya tinggal jasad tubuh yang bernafas
bilakah kau bawaku bersamamu?


Jacky Wu
Perak, MALAYSIA
10 Mac 2010

Tuesday, March 09, 2010

Bulan, Dia dan Sepi

Oh rembulan nan tinggi di awan
selimutkan nyamanmu ke tubuhnya
pantulkan cahyamu buat indah mimpinya
santak dia lena beradu.

Dan aku?
biarlah hati ini di kejauhan.


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
10 Mac 2010

Monday, November 16, 2009

sendiri dan sepi

sendiri aku lantar di kamar kecil yang sunyi
rumah yang tiada nafas manusia kecuali aku
hujan lebat mengetuk kamar tingkat
bahkan ianya tahu hatiku yang tidak tenteram

apa yang harus aku lakukan?
soalan berulang ini beribu kali bermain di fikiran
namun tiada jawapan untuknya
semakin hari semakin berat langkahku
berpuluh-puluh tahun masih terumpang amping
adakah ini yang aku pilih
atau takdir menentukan segalanya

pernahku fikir betapa indahnya dunia ini
lautan luas terbentang menanti
namun langit tinggi tidak kesampaian
jatuh tersungkur di tanah bumi
dipinggiran langit dan bumi akhirnya

adakah sendiri dan sunyi pilihanku?
atau ku kuncikan diri sendiri?
hidup yang membelenggu manusia?
atau manusia selalu sesak dalam mencari-cari?

ku tahu apa yang ku genggam hanya omong-omong
perlukah aku akur dengan segala yang mendatang
walau betapa ku tak ingin sendiri
namum sendirilah yang menjadi teman karib sepanjang masa
walau betapa ku tak ingin sunyi
namun ketenangan selalu menjauhi aku
dalam saat-saat begini
lagu Anita Sarawak bermain di fikiran
Bawalah daku pergi tinggalkan derita ini

hujan diluar semakin reda
namun ia tidak meredakan hatiku yang bergelora
lalu aku lelapkan mata
ku tahu esok tidak akan mendatang
ku tahu segalanya tidak akan berubah
kadangkala ku harap
tidak bangun selama-lamanya....


Jacky Wu
Perak, MALAYSIA
15 November 2009

Thursday, November 12, 2009

Dia Tanpa Suara

Dia berdiri
tegap
bangga
sekejap senyum
sepicing sengih
tetap tegak
tetap bangga.

Dia berdiri
tinggi
selayang lompat
sejelalat lonjak
menggapai-gapai langit
untuk terus tinggi lagi.

Dia berdiri
kadang-kadang lompat
terkadang lonjak
adakala diri tegak
tiada suara
bukan bisu
cuma tiada suara.

Cukupkah bangga itu?
sangkapkah tinggi itu?
sempurnakah tegak itu?


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, Malaysia
12 November 2009