Monday, December 31, 2007

Doa Yang Hiba

(Sajak ini pertama kali disiarkan di blog graha residenKu)


Dari kejauhan ku dapat khabar itu
sedih, geram dan bersalah
meronta-ronta liar
sebelum ditawan redha.

Dari kejauhan ku panjatkan doa
kau teman yang setia lagi benar
cekalmu santak ke Low's Peak
murnimu santak ke lubuk hati
beberapa kerat yang mengenali.

Ku yakini
dirimu Dia sangat sayangi
lebih dari kami di sini
cuma satu harapan ini
moga diizinkan kita bersahabat lagi
di sana kelak.

Kau memang wanita yang baik.

p/s: Al-fatihah buat arwah Hasanah Abdullah, yang menghembuskan nafas terakhir di sisi bonda tercinta di Kelantan Darul Naim. Semoga rohnya dirahmati Allah taala dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Aamin.


Hasmi Haron
Manchester, England
31 Disember 2007

Friday, December 07, 2007

Sunyi Seorang Lelaki Melayu

Riuh daripada Revolution Bar
mengejek-ngejek dia
yang berhempas pulas
memuja kesiuman.

Dia lari dari sibuk hidup
datang ke daerah yang lama ditinggalkan
untuk berehat.

Dia lari dari rutin hidup
datang ke daerah yang penuh godaan
untuk tambah hebat.

Malam yang semakin dingin
dalam musim luruh yang basah
tiada bezanya dengan malam-malam lalu;
bertemankan pemanas yang kadangkala gila
sibuk dan rutin
menghambat hebat, tercicir rehat.

Kadang-kadang ditenung saja komputer riba
takpun diselak-selak buku-buku dari Perpustakaan John Rylands
andai tepu lagi
diselongkar Internet - Facebook, Wikipedia, Blogger dan YouTube
kononnya seketika cari ilham
cuma tak sedar, si dia lama bunuh masa.

Mahu ke Printworks, si dia tiada kaki
kalau pun ke Manchester Piccaddily
cuma singgah di Primark, Argos dan Arndale
tapi selalunya
hanya ke Sainsbury's yang cuma sepelaung saja
ataupun ke Curry Mile
beli ayam halal daripada Worldwide Store.

Setiap tiga hari
si dia telefon ibu di tanahair
tanya khabar, cari khabar
dan pesan salam buat ayah tercinta.

Si dia lebih awal tahu
lagu Izinkan Ku Pergi yang diganti nyanyi oleh Sahri
berjaya ke akhir Juara Lagu
daripada rata-rata kenalannya di tanahair
yang jarang ambil tahu
apa tertulis dalam Utusan Malaysia
ataupun Malaysia-Today.

Beginikah perilaku lelaki Melayu
bila di perantauan?


Hasmi Haron
Manchester, UNITED KINGDOM
7 Disember 2007