Saturday, August 14, 2004

Perempuan-perempuan Celaka Itu

Petang yang bukan petang
datang dua perempuan
terkedek-kedek
menagih perhatian
mengemis sokongan
merayu kasih
dengan hati hitam gelap
dengan senyum pura-pura
dengan mulut berbisa.

Petang yang bukan petang
datang dua perempuan
yang sepi dan keseorangan
bukan tiada jantan
tetapi tiada lelaki
lantas diri-diri itu jadi kontang
dan kekontangan itu buat tanah kian gersang
dan masa terus menghambat dan menghambat
penantian hujan rahmat yang tiada kunjung tiba.

Petang yang bukan petang
perempuan dan perempuan itu
datang terkedek-kedek
mengumpul semangat
dari mulut-mulut tiada nyawa
dari tubuh-tubuh tiada harga
buat pendinding
dalam peperangan yang tiada gaduh
dalam persengketaan yang tiada musuh.

Petang yang bukan petang
dua perempuan yang terkedek-kedek itu
mengilai suka dan bangga
melihat api marak
melihat bayu lari lintang pukang
melihat air mata turun menghujan.

Petang yang bukan petang
perempuan itu dan perempuan itu
lupa bahawa Tuhan itu satu
lupa bahawa ada syurga ada neraka
lupa dunia ini sementara.

Petang yang bukan petang
perempuan-perempuan itu
terus bermuka-muka
terus bertopeng-topeng
dan mereka bangga, mereka suka
mereka ada jantan
mereka ada semangat
mereka ada api
mereka ada kemenangan.

Perempuan-perempuan celaka itu
dalam diam menangis
setiap kali jantan mereka hadir
setiap kali mereka tersedar
mereka tiada lelaki
mereka tiada nyawa
mereka tiada air
mereka tiada ketenangan.


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
Ogos 2004

Wednesday, July 28, 2004

Duda dan Janda

Kasihan aku perempuan itu
lakinya lari dari rumah
leburkan sedarsawarsa kasih sayang
lenyapkan impian bahagia
tinggalkan geram, sedih dan derita.

Kasihan aku lelaki itu
terpaksa tinggalkan dua anaknya
dengan perempuan, isteri dan ...
bersama dendam dan cinta yang berbaur-baur.

Jantan dayus, kata perempuan itu
Isteri celaka, tutur lelaki itu.

Kasihan aku perempuan dan lelaki itu
yang ditemukan untuk dipisahkan
yang dipadankan untuk bermusuhan
betul kata Tuhan:
lelaki-lelaki baik adalah untuk perempuan-perempuan baik
perempuan-perempuan baik adalah untuk lelaki-lelaki baik.

 
Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
27 Julai 2004
9:33