Thursday, December 17, 2015

Karya-Tamu: Gokyo Rei

Terletak di Nepal, kawasan Khumbu
Tak pernah ku dengar dan asing bagi ku
Dek semangat gunung yang kuat membuku
Ku daftar penyertaan ku dengan restu ibuku.

Hari demi hari latihan dijalankan
Fizikal dan mental perlu disiapkan
Ku harungi latihan bersama rakan-rakan
Dari pelbagai sektor dengan satu impian

Hari yang dinanti menjelang tiba
Hatiku sayu terasa hiba
3 minggu disana tanpa keluarga
Baru ku sedari “Team Himalayan Ekspedition” adalah keluarga

30 November berangkat pergi
Riangnya hati girang sekali
Jejaknya kaki dibumi yang dinanti
Tanda bermulanya ekspedisi ini

Mataku terpukau sepanjang perjalanan
Menikmati alam ciptaan Tuhan
Kiri dan kanan gunung bertaburan
Membuatku seperti melayang kegirangan

Tempat yang dituju belum kelihatan
Walau telah berhari, kami berjalan
Semangat yang berkobar kian pudar
Perasaan sesal mula berkisar

Langkahku longlai mulai longgar
Dapat dikesan oleh yang pakar
Disuntik semangat menjadi pembakar
Itulah dia Apau Muzaffar

Kelihatan tasik luas terbentang
Airnya jernih amatlah tenang
Riangnya hati bukan kepalang
Sambil berlari, “Gokyo Lake aku datang

Akhirnya puncak berjaya ditawan
Menikmati alam dari pandangan awan,
Tersentuh hati menerima ucapan
Dari pimpinan tertinggi dan juga jabatan

Segala perit mahupun tawa
Tidak dapat diungkap dengan kata-kata
Pengalaman berharga ibarat permata
Akan terus tersimpan tak akan dilupa.


Nukilan: Mohd Amirrul Abd Jalil, Jabatan Konsumer dan Amalan Pasaran

Wednesday, November 11, 2015

Wajah-Wajah Daripada Keranapan

(Sajak ini ditujukan buat usahawan-usahawan kecil di Pantai Timur yang telah bangkit daripada banjir besar 2014.)


Wajah itu melekat sungguh
pertama kali bertemu dia
tika jengah daerah yang ranap
dilarikan bah segala penat jerih
cuma berbaki harapan dan harga diri
berpalit selut dan lumpur.

Wajah itu melekat sungguh
terkesima berbaur pasrah
air bukan lagi rahmat
yang turun mencurah lebat
yang mengalir arusnya cepat
bertandang untuk merembat
keteguhan pada kudrat dan iradat Ilahi.

Wajah itu melekat sungguh
tika kuhulur risalah kepadanya
uar-uar tentang harapan
agar dia kembali pulih
kuburkan putus asa
panjat kembali tangga kehidupan
naik tinggi daripada keranapan semalam.

Wajah itu melekat sungguh
kubawa sekali tika jengah lagi daerah itu
tinjau saki-baki keranapan
nilai hasil canang kami
sinar dari Kemudahan Bantuan Khas 2015.

Tapi lain sudah wajah baharunya
bukan yang terlekat sebelum ini
tanpa pinga, tiada pasrah
berbunga-bunga girang
tunjukku barang jualannya tersusun rapi
toko sudah bersih, kemas
selut dan lumpur telah disental sungguh-sungguh
diberus kudrat dan dijirus harapan.

Wajah baharu dia bukan wajah yang dulu
kian terserlah riang bila disapanya seorang teman
yang lalu di depan kami
dan temannya itu
punyai wajah yang pernah melekat di ingatanku.

Kuhulur risalah kepada temannya
tapi dia yang uar-uar tentang harapan
agar teman itu kembali pulih
kuburkan putus asa berserta ternakan yang lemas
panjat kembali tangga kehidupan
sama naik tinggi daripada keranapan semalam.
Wajah baharu dia juga melekat sungguh
tika kutinggalkan dia
untuk kujengah daerah lain
dan sempat juga kurakam gambar baharu
temannya menggenggam kemas risalah
penuh pengharapan
terasa kudratnya di dalam genggam tanganku sendiri.

Wajah-wajah itu melekat sungguh-sungguh
ikutku ke mana saja
pabila ditancap duka
aku kuak wajah-wajah itu
bakar semangat
untuk kupanjat tangga kehidupan ini.


Hasmi Haron
Kuala Krai, Kelantan, MALAYSIA


Nota: Kemudahan Bantuan Khas 2015 yang berjumlah RM500 juta ini telah diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia pada 23 Januari 2015 bagi membantu perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas akibat bencana banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2014.

Tuesday, August 11, 2015

Pantun Majlis Appresiasi Akta IKP dan Rumah Terbuka JKPE

Masak matang buah bidara,
jatuh ke titi dikutip kawan,
selamat datang pemula bicara,
girangnya hati bertemu tuan.

Pohon selasih dipagar rotan,
serpihan cawan dibuat tanda,
terima kasih kami ucapkan,
budi tuan puan dikenang sentiasa.

Awan berarak putih melata,
puncak Tahan sepertinya hilang,
tambah semarak kolaborasi kita,
jana pembangunan Malaysia gemilang.


Nota kaki: Rangkap 1 dan 3 dikarang oleh HB Hamdan manakala rangkap 2 dikarang oleh Aida Baizura Ismail dan diedit oleh HB Hamdan.

Monday, July 06, 2015

Karya-Tamu: This Time

It's that time of the year again
that time of giving and be joyous
that time of discovering oneself and devotion
that time me fast and be cleansed
from sins of the past.

That time where the words 'MUS'

and generous and selfless don't often
find themselves locked together in the same sentence.

But this year, this time things are going to change

this time, I vow to be a better muslim
better son
better brother
better friend
praise be to Allah, for giving me another chance
who sent Ramadhan as a gift to mankind.


Penned by: Syed Mustaffa Syed Mohamed


Nota kaki: Sajak ini telah dideklamasikan buat pertama kali di Majlis Iftar dan Puisi Islam pada 27 Jun 2015 di Kuala Lumpur.

Sunday, July 05, 2015

Karya-Tamu: Hidup Ini

Ku toleh belakang
ku imbas kembali
ku cuba fahami
hidup ini
pelik
unik
indah
kosong.

Pelik
melihat aturan hidup ini
tak terjangka
tak terduga
perubahan zaman dan juga masa.

Unik
manusia saja dah cukup unik
keletah, perangai, pemikiran
pelbagai gaya dan identitinya
walaupun dari ranting yang sama
apatah lagi
diri kita ini.

Indah
jika dicungkil
diamati
perjalanan hidup itu indah sekali
jika dihayati
kau pasti mengerti.

Kosong
kekadang sunyi... sepi
terasa kosong sekali
mungkin inilah masa muhasabah diri
mengkaji kesilapan diri
pada fitrah
ku pasti kembali.


Nukilan: Mazlye Mohamad

Nota kaki: Sajak ini telah dideklamasikan buat pertama kali di Majlis Iftar dan Puisi Islam pada 27 Jun 2015 di Kuala Lumpur.

Saturday, July 04, 2015

Karya-Tamu: Gadis Kecil

Hei gadis kecil
wajahmu indah
persis si Aishah.

Hei gadis kecil
adakah kau tahu
aku sentiasa terpaku melihatmu.

Mungkin kerana...
lesung pipitmu?
senyuman manismu?
rambutmu yang menawan?

Dan aku akan terus dan terus
menyayangimu...
kerana kau gadis kecilku...
Mika Rania.


Nukilan: Mohd Effendy Ismail

Nota kaki: Sajak ini telah dideklamasikan buat pertama kali di Majlis Iftar dan Puisi Islam pada 27 Jun 2015 di Kuala Lumpur.

Friday, July 03, 2015

Karya-Tamu: Mati Itu Pasti

Manusia
yang berada dalam kemewahan dunia
yang cenderung memperturutkan syahwat serta kesenangan
sudah pasti hati akan lalai
dari mengingati kematian.

Pasti dia tidak ingat sama sekali
bahawa suatu ketika dia akan mati
jika diingatkan orang kepada kematian
dia akan membencinya
dan akan lari daripada mendengar peringatan itu
mati itu pasti.


Nukilan 10 Ramadhan: Izal Mohd Tamrin

Nota kaki: Sajak ini telah dideklamasikan buat pertama kali di Majlis Iftar dan Puisi Islam pada 27 Jun 2015 di Kuala Lumpur.

Thursday, July 02, 2015

Karya-Tamu: Ahlan Wah Salan, Ya Ramadhan Kareem

Andai harta kemewahan adalah racun
maka zakatkan ia untuk mensucikannya.

Andai seumur hidupku penuh dosa
maka taubat dan taqwa adalah penyucinya.

Andai semua bulan adalah noda
maka Ramadhan adalah penawarnya.
ketua segala bulan, ketua segala malam (al-qadr)
bulan turunnya qalam Allah
bulan yang barokah.

Thank you Allah for the opportunity to be in this 1430 Ramdhan.


Nukilan: Abdol Razak Abdul Aziz

Nota kaki: Sajak ini telah dideklamasikan buat pertama kali di Majlis Iftar dan Puisi Islam pada 27 Jun 2015 di Kuala Lumpur.

Wednesday, July 01, 2015

Karya-Tamu: Malam Ini

Malam Ini
untuk kesekian kalinya
anggota wudu' ini dibasahi
setelah lama mereka tandus tanpa air suci.

Malam ini 

untuk kesekian kalinya
sejadah ini dibentangkan
setelah lama ia tersadai di ampaian usang itu.

Malam ini

untuk kesekian kalinya
ku bersujud kepada-Mu, Ya Allah
setelah lama aku ego dan alpa kehambaanku.

Malam ini

untuk kesekian kalinya
aku.....hanyalah aku
perlu bangkit dari lenaku yang memesongkan.


Nukilan: Azzril Jamil


Nota kaki: Sajak ini telah dideklamasikan buat pertama kali di Majlis Iftar dan Puisi Islam pada 27 Jun 2015 di Kuala Lumpur.

Tuesday, June 30, 2015

Karya-Tamu: Tempat Yang Hanya Milik-Mu

Bukan kepalsuan yang ku mahu
bukan semua yang ku perlukan
hanya sebuah tempat
yang boleh terima, menerima hinanya aku.

Ku temukan itu di Sisi-Mu

terlihat dalam agung Nama-Mu
tempat terindah yang hanya milik-Mu
tempat terindah yang hanya di sisi-Mu.

Tempat yang boleh terima kotornya aku

yang beri bahagia dalam ketenangan
sungguh kepalsuan tiada padanya
semua pun mustahil ada padanya.

Wahai Dzat Penggenggam Jiwa

jiwa-jiwa hidup dan jiwa-jiwa mati
merindu-Mu dalam lembar penghambaan
berharap diterima di tempat yang hanya milik-Mu.


Nukilan: Ajak Rafiqi Mohammad


Nota kaki: Sajak ini telah dideklamasikan buat pertama kali di Majlis Iftar dan Puisi Islam pada 27 Jun 2015 di Kuala Lumpur.

Monday, June 29, 2015

Karya-Tamu: Hidupku Gelendangan Seorang

Di lorong-lorong tikus
dia duduk termanggu
makan tak tentu, lapar mainannya
jalan bertapak tumutnya hancur
ihsan sekelumit manusia yang peka.

Laju masa metropolitan berlalu
hutan batu semakin tinggi
namun nasib aku di bawah kolong siapa tahu
poket kontang baju rabai.

Encik Korporat binat teknokrat
tapi tak terpandang kita yang tenat
di bawah kolong
di tepi lorong
yang sakit melolong.

Jika ada seringgit
beri sedikit
aku takkan perit.


Nukilan: Norhaiza Mohd Saleh

Nota kaki: Sajak ini telah dideklamasikan buat pertama kali di Majlis Iftar dan Puisi Islam pada 27 Jun 2015 di Kuala Lumpur.

Sunday, June 28, 2015

Karya-Tamu: Andai Ini Ramadhanku Yang Terakhir

Andai kutahu ini Ramadhan terakhir buatku
tentu di kala siangnya ku akan sibuk berzikir bertafakur mengingatimu Ya Rabbul Jalil
tentu tidak akan aku pernah jemu mendendang syair mendayu, merayu, merintih padaMu Tuhanku yang satu.

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu solatku dikerjakan awal waktu
solat yang penuh khusyuk lagi tawaddu' memperhamba diri MengadapMu...
menangisi setiap dosa, noda dan cerca yang tidak terhitung banyaknya
yang telah kulakukan selama hidupku.

Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan aku persiakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan terbuang begitu saja
di setiap kesempatan masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kudendang dan kusyairkan dengan penuh pengertian dan deraian airmata keinsafan.

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu tengah malamku akan kusibukkan dengan bertahajud dan bersujud memohon belas ihsanMu
kerana sesungguhnya kusedar, aku tidak layak untuk ke syurgaMu, namun aku juga tidak sesekali sanggup untuk ke nerakaMu Ya Matin.

Kuberdoa agar setiap langkah ku ini zuhud kepadaMu
moga ku istiqamah di Ramadhan ini
dan Dikau terimalah taubatku dan amalanku yang tidak sebarapa ini.

ANDAI AKU TAHU INI RAMADHAN TERAKHIR………BUATKU.



Nukilan rasa: 
HambaNya, 
Danny Zulkarnain Mohd Salleh


Nota kaki: Sajak ini telah dideklamasikan buat pertama kali di Majlis Iftar dan Puisi Islam pada 27 Jun 2015 di Kuala Lumpur.