Friday, February 24, 2006

Tokyo monotagori

Ku injak tanah Edo ini
berbaur harapan dan impian
terpupuk sejak dua darsawarsa lalu.

Titip-titip rindu
undang semula memori itu:
sekeluarga mengadap peti televisyen
saksi suka dan duka
lihat bobrok dan gemilang
tonton satu perjalanan
tiga perempuan satu nama
membina kehidupan.

Sumimasen, sumimasen…
kamu Kobayashi Ayoko?
geleng kepala
awak Tanaka Yuko?
geleng lagi
anda Otowa Nobuko?
lagi geleng.

Ku cari lagi srikandi
di celah pencakar langit Shinjuku
di tengah kesibukan Marunouchi
di dalam kemewahan Ginza
di balik kecanggihan Akihabara
di mana dikau, srikandiku?
makin kemaruk aku.

Selaut manusia yang dilewati
sedikit demi sedikit; sana dan sini
muncul kesantunannya
hadir kecantikannya
datang kecerdikannya
tampil kecekalannya
dibawa bayu dingin Februari.

Sumimasen, sumimasen…
Oshin desu ka
lagi geleng kepala.

Ku batal niat cari srikandi
tika langkah sampai ke Harajuku
fahamlah aku, sedarlah aku
Edo juga seperti Kuala Lumpur:
kian luluh kulitnya
makin garau suaranya
di celah muda mudi Edo
yang pancawarna, pelbagai bentuk rupa
terbit bisikan sayu
sayonara Oshin-san.


Hasmi Haron
Kuala Lumpur, MALAYSIA
Februari 2006